Cari Blog Ini

Halaman

Jumaat, 25 November 2011

segala puji bagi NYA


Apabila kita melakukan kebaikan yang terlihat oleh orang lain, pasti ada yang mengatakan : 
"Wah! Baguslah awak."
" Awak memang baik."
"Jarang jumpa orang macam awak."
" Hebatnya!"
Paling tidak pun, akan ada yang tersenyum menandakan sebuah penghargaan kepada kita. Lantas kira menjadi termotivasi dan bersemangat untuk terus melakukan kebaikan.
Kita merasakan ada nilainya kebaikaan tersebut pada pandangan mata manusia. Bagaimanakah pula keadaannya apabila ada yang mengatakan :
"Eleh, tu nak tunjuk baik la tu."
"Buang masa awak saja buat macam tu."
"Jangan buat macam tu lagi lain kali!"
Apakah kesannya kepada diri kita?
Adakah kita masih terus melakukan kebaikan tersebut atau kita meninggalkannya?
Kesan yang berlaku atas diri kita daripada respons positif dan negatif orang lain ini menjadi indaktor kepada keikhlasan kita dalam beramal.
Nilai sesebuah amal itu tidak dapat ditentukan berdasarkan kepada pujian manusia. Apa yang lebih penting adalah penilaian Allah SWT.
Apabila telah ada saranan untuk melakukan sesebuah amal daripada Allah SWT dan Rasul SAW, maka ia tetap mempunyai nilai yang tinggi sama ada orang lain memuji atau mengeji.
Dalam ertikata lain, orang yang ikhlas tidak akan berganjak sedikitpun daripada sebuah amal yang baik, bahkan dia sentiasa istiqamah dengan kebaikan. Tidak bertambah kerana pujian, atau berkurang kerana kejian.
Berbeza dengan seseorang yang mengejar pengiktirafan manusia, bila dipuji dia berbangga dan menambah lagi kebaikan, bila dikeji dia merasakan seolah-olah azab Allah menimpanya lalu dia meninggalkan amal baik tersebut. Konsistensi amalannya bergantung kepada respons manusia terhadapnya.
Seseorang yang saya maksudkan tersebut boleh jadi kita sendiri, termasuk saya yang menulis.
Pernahkah kadang-kadang kita merasa kagum dengan mujahid Islam yang syahid lantas kita juga bercita-cita untuk syahid sepertinya?
Namun jauh di sudut hati kecil kita bersuara, "Tentu aku akan dikenang orang."
Pernahkan kita membaca karya agung ulama-ulama silam lantas kita ingin berkarya seperti mereka?
Hati kecil kita masih lagi bersuara, "Tentu orang akan menyanjung aku."
Tatkala kita melayani perasaan tersebut dan berusaha mengejar pengiktirafan manusia, maka amal kita telah dicemari dan tidak lagi ikhlas. Namun apa yang boleh kita usahakan ialah menentangnya dan melawannya.
Oleh itu, matlamat yang jelas perlu ditentukan sejak kita berniat melakukan sebuah amal sehinggalah kita habis melaksanakannya.
Keikhlasan itu perlu dijaga – sebelum, ketika, dan setelah melakukan sebuah amal. Susah memang susah, sebab itulah perlunya mujahadah.
Sampai bila? Sampai kita bertemu Allah SWT. Saya masih ingat pesan Ustaz Che; Abdul Majid yang pernah saya kenali di Pusat Asasi UIAM Petaling Jaya dulu;
Berbuat baik ayuhai teman,
Ke dalam laut engkau campakkan,
Kalau tidak dikenal ikan,
Tuhanmu tahu iyakah, bukan
Bait syair di atas menyeru supaya kita ikhlas melakukan sesebuah amal hanya untuk keredhaan Allah SWT dan hanya untuk mendapatkan ganjaran daripada Allah SWT.
Amal yang baik itu takkan sekali-kali disiarkan oleh Allah. Bahkan yang terdetik di sudut hati kita juga tak pernah terlepas daripada pandangan Allah SWT. Biarlah Allah yang menilai kebaikan kita dan memberikan ganjaran di akhirat. Firman Allah:
"Apakah kamu mengira bahwa kamu akan dibiarkan, sedangkan Allah belum mengetahui (dalam kenyataan) orang-orang yang berjihad di antara kamu dan tidak mengambil menjadi teman yang setia selain Allah, Rasul-Nya dan orang-orang yang beriman. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan." (At-Taubah : 16)
"Jika kamu tamakkan apa yang ada di sisi manusia, kamu akan dibenci Allah. Jika kamu tamakkan apa yang ada di sisi Allah,  kamu akan disanjung manusia." - Kata hikmah.
Bahkan dalam memuji juga kita harus berhati-hati. Boleh jadi pujian kita itu akan menghancurkan saudara seagama kita. Pujilah sekadar yang perlu dan kembalikanlah hak menilai itu kepada Allah. Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW berpesan;
"Dari Abdurrahman bin Abu Bakrah dari bapanya r.a katanya : Seorang lelaki memuji orang lain berhampiran Nabi, lalu Nabi berkata kepadanya : " Celaka kamu. Bereti kamu memenggal leher saudara kamu. (Kata-kata itu baginda ucapkan banyak kali). Apabila seseorang kamu memuji saudaranya, seharusnya dia berkata, "Cukuplah bagi si fulan Allah sahaja yang menilainya. Tidak ada yang lebih berhak menilai selain Allah Taala, sekalipun temannya tahu dia begini dan begitu." (Hadis Riwayat Muslim)
Jika ada yang memujimu, katakalah "Alhamdulillah" dengan sebenar-benarnya.

asal niatnya baik


Anak muda di hadapan saya terus mengasak saya dengan hujah-hujah logiknya. Senang melihat anak muda yang berani dan berterus-terang begitu. Hujahnya tajam dan menikam. "Tidak semestinya wanita yang menutup aurat itu baik, " tegasnya.
"Saya kenal beberapa orang wanita yang menutup aurat... perangai mereka ada yang lebih buruk berbanding wanita yang tidak menutup aurat," tambahnya lagi.
Saya diam melihat dia berhujah dengan akal dan pengalaman. Namun pengalamannya agak terbatas. Berapa ramai wanita yang dikenalinya dalam usia semuda itu? Dan akalnya juga terbatas – aqal perlu dirujuk kepada naqal. Mesti memahami prinsip ilmu wahyu terlebih dahulu, kemudian barulah kita bebas menggunakan fikiran dan pengalaman tanpa terbabas.
"Sebenarnya, apa yang cuba awak sampaikan?" tanya saya lembut.
"Saya nak tegaskan bahawa wanita yang baik tidak semestinya menutup aurat."
"Justeru, wanita yang jahat itu ialah wanita yang menutup aurat?" jolok saya melayan pola logiknya berfikir.
"Er, er, bukan begitu. Maksud saya, baik atau buruknya perangai seseorang wanita tidak bergantung pada pakaiannya, samada dia menutup aurat atau tidak."
"Apa ukuran awak tentang nilai kebaikan seorang wanita?" kilas saya tiba-tiba.
"Jujur, terus-terang, pemurah, lemah-lembut..."
"Itu sahaja?"
"Ya. Pada ustaz pula apa ukurannya?"
"Kita hanya manusia. Akal kita terbatas. Ukuran dan penilaian kita juga pasti terbatas. Jika diserahkan kepada manusia mentafsir apa itu kebaikan, akan celaru dibuatnya."
"Mengapa?"
"Kerana setiap manusia ada jalan berfikirnya sendiri. Saya bimbang nilai kebaikan akan menjadi suatu yang relatif dan subjektif, padahal kebaikan itu juga seperti kebenaran... ia suatu yang objektif dan mutlak, " akui saya terus-terang.
"Habis, untuk apa kita diberi akal? Kita harus rasional dan logik!"
Saya cuba senyum lantas berkata, "akal perlu tunduk kepada penciptanya, Allah. Fikiran mesti merujuk kepada Al Quran dan Hadis. Itu kan lebih tepat... ilmu kita terbatas, ilmu Allah Maha Luas."
"Jadi akal kita untuk apa?" desaknya lagi.
"Untuk memikirkan apa hikmah kebaikan yang telah ditentukan Allah dan bagaimana melaksanakannya dalam kehidupan."
"Ertinya akal kita terikat?"
"Akal kita bebas, tetapi dalam lingkungan syariat. Sama seperti bumi yang sedang ligat berpusing ini... tetapi tetap pada paksinya."
"Bukankah agama ini untuk orang yang berakal?"
"Betul. Tetapi tidak semua perkara dapat dicapai oleh akal. Lebih-lebih lagi perkara-perkara yang ghaib, tidak akan terjangkau oleh akal. Syurga, Neraka, Titian Sirat, Mahsyar misalnya, wajib dipercayai dan diyakini tanpa perlu dilogik-logikkan lagi. Itulah iman."
"Ah, jauh kita menyimpang. Bukankah tadi kita berbincang tentang wanita yang baik? Saya ulangi, wanita yang baik tidak semestinya menutup aurat, betulkan?"
"Separuh betul," jawab saya.
"Kalau dia wanita yang jujur, terus-terang, pemurah dan lemah lembut... ya dia 'baik' di sudut itu. Tetapi jika dia mendedahkan auratnya, dia telah melanggar perintah Allah di sudut yang lain. Dia 'tidak baik' di sudut berpakaian, kerana hukum menutup aurat telah termaktub dalam Al Quran."
Anak muda di hadapan saya muram. Nampaknya dia belum berpuas hati.
"Tetapi dia jujur, amanah..."
"Orang yang baik menurut Islam ialah orang yang baik hubungannya dengan Allah dan manusia. Menutup aurat perintah Allah."
Anak muda di hadapan saya masih tidak puas hati. Perlahan-lahan saya tusuk dengan hujah yang memujuk,  "namun percayalah jika benar-benar hatinya baik, insyaAllah lambat laun dia akan menutup aurat juga."
"Apa hujah ustaz? Pengalaman? Fikiran atau telahan?"
"Masih merujuk kepada Al Hadis."
"Hadis yang mana?"
"Hadis riwayat Bukhari mengisahkan seorang wanita pelacur berbangsa Yahudi yang telah memberi minum seekor anjing yang kehausan. Atas sebab sifat belas kasihannya itu dia mendapat hidayah lalu menjadi wanita yang solehah."
"Apa kaitan cerita itu dengan subjek yang kita bincangkan ini?"
"Secara tidak langsung  itu menunjukkan bagaimana jika hati seseorang mempunyai sifat-sifat baik seperti kasih sayang, belas kasihan dan pemurah, sekalipun kepada anjing, itu boleh menjadi sebab Allah kurniakan hidayah untuk dia beriman seterusnya menjadi wanita solehah."
"Maksud ustaz?"
"Jika seorang wanita itu benar-benar baik hatinya insya-Allah lambat laun dia akan menutup aurat walaupun sebelumnya tidak menutup aurat."
"Oh, begitu. Kenapa ya?"
"Allah menilai pada hati. Jika hati itu baik,  lambat laun hal-hal luaran pasti mengikutnya jadi baik."
"Apa pula pendapat ustaz tentang wanita yang menutup aurat tetapi akhlak dan perangainya buruk?"
"Bab aurat dia telah selamat. Alhamdulillah, kewajiban menutup aurat telah dipatuhinya. Apa yang tinggal... dia perlu membaiki akhlak dan perangainya. Dia perlu terus berusaha."
"Jika ada berpura-pura? Menutup aurat hanya untuk menunjuk-nunjuk atau sekadar tuntutan fesyen dan trend?"
"Hati manusia kita tidak tahu. Kita tidak tahu hati wanita yang menutup aurat tu jahat atau tidak, samalah seperti kita tidak tahu samada hati wanita yang tidak menutup aurat itu baik atau tidak. Soal hati hak Allah..."
"Tetapi katalah hati wanita yang menutup aurat itu benar-benar jahat..."
"Jika hatinya benar-benar jahat... lambat laun dia akan mendedahkan auratnya semula."
"Mengapa?"
"Menutup aurat adalah pakaian wanita yang solehah. Wanita yang jahat tidak akan mampu memakai pakaian wanita solehah."
"Patutlah saya lihat ada wanita yang dulunya memakai tudung labuh, tapi kemudiannya tudungnya semakin singkat, lama kelamaan mula memakai seluar ketat, kemudian berubah kepada memakai baju T sendat... lama-kelamaan bertudung ala kadar sahaja."
"Perubahan luaran gambaran perubahan hati. Yang tidak menutup aurat... akhirnya perlahan-lahan meningkat untuk menutup aurat kerana hatinya beransur jadi baik. Sebaliknya, yang menutup aurat... secara beransur-ansur akan mendedahkan auratnya jika kualiti hatinya semakin merosot."
"Siapa wanita yang paling baik?" tiba-tiba anak muda di hadapan saya bertanya sambil merenung muka saya. Serius dan tajam renungannya.
"Tentulah isteri-isteri dan anak-anak nabi Muhammad s.a.w." jawab saya pasti.
"Bagaimana pakaian mereka?"
"Tentu sahaja mereka menutup aurat. Dan mereka juga pasti memiliki hati yang baik. "
Kali ini dia pula terdiam. Melihatnya begitu saya terus mengasak, "kalaulah hati yang baik sahaja jadi pernilaian Allah, tentulah isteri-isteri dan anak-anak perempuan Rasulullah tidak perlu menutup aurat. Hati mereka sudah baik. Namun tidak begitu, hati yang baik bukan alasan untuk mendedahkan aurat."
"Wanita yang baik mesti menutup aurat?"
"Ya."
""Wanita yang jahat mesti mendedah aurat?"
"Tidak semestinya, kerana ada wanita yang berhati baik tetapi belum menutup aurat kerana mungkin dia sedang berusaha untuk mengatasi halangan-halangan luaran dan dalamannya untuk menutup aurat."
"Apa yang boleh kita katakan kepada wanita begitu?"
"Dia sedang berusaha menjadi wanita yang baik."
"Bagaimana pula dengan wanita yang menutup aurat tetapi buruk perangainya? Wajarkah mereka mendedahkan aurat supaya tidak hipokrit."
"Perangai yang buruk bukan alasan mendedahkan aurat. Bagi mereka ini, tuntutan menutup aurat sudah ditegakkan, alhamdulilah. Tinggal satu lagi, tuntutan memperbaiki akhlak... itu sahaja yang perlu dilaksanakan. Satu selesai, tinggal lagi satu. Namun bayangkan jika disamping perangai buruk, mereka juga turut mendedahkan aurat ... Itu lebih buruk lagi. Dua perkara tak selesai, bab aurat dan bab perangai!"
"Jadi apa kita nak kata tentang wanita yang menutup aurat tetapi buruk perangai ni?" Sekali lagi dia mengajukan soalan yang sama.
"Wallahua'lam. Boleh jadi mereka juga sedang berusaha mengatasi halangan dalaman dan luarannya untuk memperbaiki perangainya. Dan nauzubillah, boleh jadi juga iman mereka sedang merosot sehingga menjejaskan akhlak mereka... yang lama kelamaan jika tidak diatasi akan menyebabkan mereka kembali mendedahkan aurat!"
Dia senyum. Alhamdulillah.
"Saya tahu apa yang saya akan lakukan sekarang..."
"Kenapa? Mengapa? Punya kekasih tidak bertudung tetapi baik hatinya? Atau dikecewakan oleh wanita bertudung tetapi buruk perangainya?"
Soalan akhir itu tidak terluahkan oleh saya. Saya simpan sahaja di dalam hati. Biarlah anak muda ini belajar dari pengalamannya... insyaAllah esok apabila dia mengalaminya sendiri, dia akan ingat satu persatu apa yang didengarnya pada hari ini!